Sunday, November 20, 2011

SEBESAR MANA KITA LETAKKAN ALLAH DI DALAM HATI, MAKA SEBESAR ITU JUALAH KITA DIPANDANGAN ALLAH
 ALLAH BUAT SEMUA BAIK

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ

Firman ALLAH SWT bermaksud : “ dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu.”( Al Baqarah : 216 )

ULASAN AYAT :

1-   Kesedaran dan pengetahuan terhadap kebaikan yang ALLAH SWT lakukan membuat seseorang hamba mengerti bahawa ALLAH SWT berbuat baik kerana Dia bersifat dengan sifat yang baik-baik. Kesan daripada sifat yang baik muncullah perbuatan yang baik.

2-  Apabila kebaikan ALLAH SWT dilihat pada sifat-Nya, aneka ragam perbuatan yang sebahagiannya mengelirukan pandangan, tidak lagi memudarkan sangkaan baik seseorang hamba terhadap ALLAH SWT Walaupun ada perbuatan ALLAH SWT yang kelihatan menekan hamba-Nya, tetapi ALLAH SWT yang sempurna sifat –sifat-Nya, dan semua sifat-Nya adalah baik belaka, tiada sebesar zarah pun yang tidak baik, mana mungkin boleh lahir perbuatan yang tidak baik daripada-Nya.

3-    Jadi, baik sangka yang bersandar kepada sifat adalah lebih kuat daripada baik sangka yang terhenti pada perbuatan. Baik sangka yang bersandar kepada perbuatan masih menyembunyikan keraguan yang samar-samar iaitu rasa kurang senang dengan apa yang berlaku.

4-   ALLAH SWT sahaja memiliki sifat ketuhanan yang menguasai dan mentadbir seluruh alam. Sifat ketuhanan-Nya tidak berpisah dari sifat Pemurah dan Penyayang. Apa juga yang Dia lakukan kepada alam dan isi alam adalah dengan kasih sayang dan kasihan belas. Tidak ada kezaliman dan kejahatan pada perbuatan-Nya. WALLAHUA’LAM.

TITIPAN RASA

ALHAMDULILLAH, syukur ke hadrat ILAHI atas segala nikmat dan kesempatan serta kurniaanNya yang tidak pernah putus pada hamba.

Apa jua bentuk aturan ALLAH pasti tersirat sejuta rahsia yang tersimpan untuk dinikmati oleh hambaNya. Kehidupan adalah perjalanan "perasaan" hamba menuju PENCIPTA. Semoga ALLAH memberkati dan membimbing perjalanan kehidupan yang sementara ini hingga bertemu dengan kehidupan yang sangat indah nanti bersama kekasih yang abadi. InsyaALLAH. amin.